Kerana Ombak Itu



Kelekaan anaknya bermain di pasir memutih itu memberi peluang kepada Amar merenung ombak yang bergulung-gulung. Buih ombak yang menampar-nampar kakinya serta ngauman ombak memutarkan semula mindanya kepada tujuh tahun dahulu. Pantai inilah yang menjadi saksi perpisahan antara Amar dengan isterinya tercinta, Maiza buat selama-lamanya. Pantai ini jugalah yang mengambil puluhan nyawa manusia.
                “ Abang, ambilkan kari daging itu, “ pinta Maiza dengan secalit senyuman. Amar menghulurkan sebuah bekas berwarna hijau berisi kari daging kepada isterinya, sambil membalas senyuman manis Maiza.
                “ Tak lama lagi, anak ayah boleh rasa masakan ibu,” Amar menyengih sambil mengusap-usap perut Maiza yang memboyot.
                “ Ish, ish. Belum lagilah. Dua bulan lagi keluar, bukannya boleh mengunyah. Kecil lagi anak kita,” kata Maiza. “ Memang tak sabar lagi agaknya suamiku ini,” fikir Maiza.
                Detik-detik manis itu menjadi kenangan terakhir buat Amar bersama isterinya. Amar memandang anaknya yang sedang membina sebuah istana pasir. Leka benar anaknya bermain. “ Bertuah sungguh kamu, Haziq. Kamu dapat hidup bersama ayah, tapi ibumu...” Tidak semena-mena air matanya keluar dan terjatuh di tangan putih anaknya.
                “ Ayah menangis? Kenapa ayah?” Haziq menyedari keadaan ayahnya yang sedang berduka.
                “ Tiada apa-apa. Ayah Cuma terkenangkan ibumu,” cepat-cepat Amar mengesat air matanya.
                “ Ayah janganlah bersedih. Ibu pergi mungkin ada hikmahnya,” kata Haziq, seolah-olah dia mengerti keadaan yang berlaku, sedangkan umurnya baru mencecah tujuh tahun. Mungkin benar kata-kata anak ini. Maiza yang sarat mengandung ketika insiden 26 Disember 2004 itu sempat melahirkan zuriat bertuahnya sejurus selepas kejadian itu. Yang patah tumbuh, yang hilang berganti, “ Ya, Allah S.W.T itu Maha Adil. Dia telah mengambil isteriku, dan Dia jugalah telah menggantikan isteriku dengan zuriat yang amat ditunggu-tunggu pada masa yang sama,” fikir Amar.
                Dia memandang anaknya dengan penuh kasih. “ Persis ibunya. Matanya, hidungnya, warna kulitnya serta perwatakannya yang mudah memahami dan berfikiran matang, saling tidak tumpah seperti ibunya,” Amar membandingkan Haziq dan Maiza. Walaupan masih kecil, Haziq dapat memahami keadaan dirinya yang kehilangan ibu sejak dilahirkan di dunia ini.
                Amar hairan melihat keadaan pantai yang indah ini. Airnya surut hampir seratus meter dari tepi pantai. “ Air surut agaknya, “ getusnya dalam hati. Pantai di pulau mutiara ini sering menjadi tumpuan pelancong, tidak kira pelancong tempatan mahupun pelancong asing. Oleh sebab hari itu cuti umum, Amar mengajak isterinya berkelah di tepi pantai di samping melepaskan tekanan bekerja.
                “ Hairan sungguh. Mengapa air pantai ini surut begitu mendadak?” Ngomel Amar.  “Entahlah. Nanti kita tahulah,” balas Maiza.   
                Amar melihat ke arah pantai. Air lautnya dari jauh kelihatan seperti pulau di tengah-tengah  lautan. Tinggi sungguh laut ini. Apa yang terjadi sebenarnya? Tidak lama kemudian, pantai yang penuh suara riang manusia menjadi huru-hara. Orang ramai lari bertempiaran. Amar dan Maiza saling berpandangan, kehairanan. Masing-masing berlari-lari ke daratan. “ Tsunami! Tsunami!” Seorang lelaki mat saleh yang berpakaian renang menjerit. Namun, takdir yang menentukan segala-galanya. Belum sempat kedua-dua suami isteri itu lari, ombak yang besar menghempas daratan dan menghanyutkan semua benda di daratan, termasuklah mereka. Ganas. Itulah yang mampu digambarkan oleh semua orang di situ ketika itu.
                “ Abang! Tolong saya!” Tempik Maiza yang sedang dibawa arus ombak deras.
                “ Cari tempat berpaut! Bertahanlah!”  Jerit Amar. “ Ya Allah, selamatkanlah isteri dan anakku di dalam kandungan ibunya,” doa Amar dalam hati.
                Dirinya berasa sangat sakit tatkala dipukul ombak yang mengganas. Hatinya berdebar-debar. Adakah dia masih punya harapan untuk hidup? Apakah dia dapat mengharungi hidup hingga ke hari tua? Adakah isteri dan anak yang dikandung isterinya masih hidup? Tidak putus-putus dirinya berdoa dalam hati agar dikurniakan keselamatan buat isteri dan anaknya.
                Perlahan-lahan Amar berenang melawan arus ombak menuju ke tempat berpaut. Dalam keadaan itu, dia perlu menyelamatkan dirinya. Dia perlu berbuat demikian demi masa depan keluarganya. Dia tidak mahu isteri dan anaknya terumbang-ambing kerananya. Mencari tempat berpaut memang payah. Amar terpaksa mengharungi deras ombak yang ganas. Dia juga perlu berdepan mayat-mayat yang telah ditenggelamkan ombak ganas itu. Berpuluh-puluh mayat kesemuanya. Akhirnya, Amar sempat berpaut pada dahan sebatang pokok. “ Di mana Maiza?” Kerisauan mula menguasai diri.
                Hospital itu penuh dengan suara tangisan. Puluhan mayat dibawa masuk ke sebuah bilik khas untuk pengecaman oleh ahli keluarga mangsa. Amar pula menuju ke bilik pembedahan. Maiza telah dijumpai nyawa-nyawa ikan di celah-celah runtuhan restoran berdekatan pantai. Badannya penuh dengan luka dan calar-balar. Amar tidak putus-putus berdoa atas keselamatan isteri dan anaknya yang bakal dilahirkan.
                “ Maafkan saya, encik. Isteri encik tidak dapat kami selamatkan. Walau bagaimanapun, Allah S.W.T Maha Berkuasa. Anak yang dikandung isteri encik dapat diselamatkan. Cuma bayi encik pramatang dan perlu pengawasan sepenuhnya oleh pihak kami supaya kesihatannya tidak terjejas,” jelas doktor sebaik sahaja keluar dari bilik pembedahan. Air matanya mengalir dengan deras sekali. Perasaannya bercampur-baur. Sedih dan gembira. Sedih kerana kehilangan isteri tercinta buat selama-lamanya. Gembira pula kerana kelahiran puteranya yang bakal mewarnai kehidupan laranya.

                ******************************************************************

                Haziq duduk di tempat duduknya sambil mencatat nota. Dia mendengar dengan penuh teliti. Tumpuannya hanya pada Profesor Fuad yang sedang mengajar di hadapan.

                “ Ombak laut kebiasaannya di sebabkan oleh pergerakan angin yang menghasilkan ombak yang menghempas ke pantai. Tetapi gelombang tsunami merupakan gelombang laut yang teramat kuat yang terhasil oleh letupan gunung berapi, tanah runtuh bawah laut, gempa bumi, dan hentaman oleh asteroid atau komet pada permukaan laut.
                Gelombang tsunami mampu bergerak sejauh seribu batu merentasi lautan dan masih mampu menghancurkan bandar berhampiran laut, memusnahkan dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira jumlahnya. Gelombang tsunami yang menyebabkan kehilangan jiwa paling ramai direkodkan berlaku  selepas letupan gunung berapi Krakatoa pada tahun 1883. Dianggarkan seramai 36,000 orang mati disebabkan letupan tersebut yang menghasilkan ombak setinggi 12 tingkat bangunan. Kebanyakannya disebabkan oleh ombak tsunami yang melanda perkampungan persisiran pantai, sejauh sehingga 120 kilometer dari gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda Indonesia.
                Selain itu jiwa yang terkorban akibat tsunami di Indonesia adalah seperti berikut,  19 Ogos 1977 tsunami di daerah Sumba mengorbankan seramai 189 nyawa. 12 Disember 1992 di daerah Flores, gelombang tsunami mengorbankan 2,100 nyawa dan pada 3 Jun 1994 bencana tsunami melandaa daerah Banyuwangi mengorbankan seramai 208 orang. Manakala pada 26 Disember 2004, tsunami telah mengorbankan hampir 300,000 orang di beberapa negara Asia seperti Thailand, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan tidak terkecuali negara kita sendiri, Malaysia,” jelas Profesor Fuad dengan penuh hikmah.
                Sebaik keluar dari dewan kuliah, Haziq berjalan menuju ke perpustakaan. Hatinya berkobar-kobar untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan Profesor Fuad tadi. Tugasan itu sangat ditunggu-tunggu olehnya. Dia ingin benar merungkai persoalan yang bermain-main di mindanya sejak dahulu lagi. Dia ingin membongkar semula kotak soalannya terhadap perkara yang berlaku dua puluh dua tahun lalu. Dia gembira kerana akhirnya dia dapat mengetahui punca sebenar ombak besar tsunami itu berlaku yang telah meragut nyawa ibunya. Semangatnya semakin membara tatkala menemui beberapa buah buku rujukan fizik yang akan menerangkan kepadanya mengenai fakta tsunami.
                “ Mulai saat ini, aku akan belajar bersungguh-sungguh demi ayahku dan aku akan mencari jalan untuk merungkaikan lebih banyak misteri yang terdapat pada tsunami. Assignment ini akan aku buat dengan bersungguh-sungguh. Ibu, akhirnya Haziq dapat tahu punca insiden yang menyebabkan kematian ibu dan ratusan ribu manusia,” Haziq menanam azam yang begitu tinggi dalam dirinya.
                Hari ini amat bermakna buat Haziq. Segulung ijazah kini berada di tangannya. Ijazah yang menjadi kebanggaan ayah serta dirinya sendiri telah mengubah hidup mereka. Dengan ijazah itulah Haziq akan menjadi seorang yang sangat berguna suatu hari nanti.

                *******************************************************************

                “Ayah, Haziq sudah berjaya juga akhirnya. Haziq kini dapat jadi kebanggaan ayah dengan apa-apa yang Haziq kecapi. Walaupun ayah tak dapat meraikannya bersama Haziq dan keluarga Haziq, namun kejayaan ini telah membuatkan Haziq bangga menjadi anak ayah. Kejayaan ini adalah buat ayah dan juga ibu,” monolog Hafiz dalam hati. Tanpa diduga, air mata jantannya mengalir. Dia tidak dapat menahannya lagi.
                “Kenapa abang bersedih? Adakah kerana anugerah yang abang peroleh ini telah membuatkan abang bersedih?” Tanya isterinya, Kartina. Kartina, seorang isteri yang amat mudah memahami keadaan dirinya walau apa-apa jua perkara terjadi. Pada hari itu, Haziq telah dikurniakan Anugerah Tokoh Maal Hijrah atas kegigihannya dalam mencapai kejayaan.
                “ Bukan sebab itu abang bersedih. Abang sedih kerana ayah tidak dapat meraikan kejayaan abang ini bersama kita,” kata Haziq sambil mengesat air matanya. Baginya, berkat pengorbanan dan doa ayahnya menjadi pencetus kejayaan dirinya hingga ke hari ini.
                “ Sudahlah, abang. Itu semua ketetapan takdir. Hidup mati di tangan Allah. Hikmahnya, anak-anak kita juga berjaya seperti abang,”pujuk Kartina. Benar kata isterinya itu. Seiring dengan kejayaannya, kedua-dua orang anaknya, Haiqal dan Harith berjaya dalam kerjaya mereka. Haiqal telah menjadi seorang doktor pakar mata dan telah membuka kliniknya sendiri. Manakala Harith pula menjadi seorang ahli fizik yang mengendalikan bahan-bahan radioaktif dan nuklear. Harith juga telah berjaya mencipta penemuan yang telah meletakkannya terkenal di seluruh negara.
                Haziq menadah tangan sejurus selesai berwirid di tikar sejadahnya, “ Ya, Allah. Aku bersyukur kerana Engkau telah mengaturkan hidupku dengan penuh baik. Sesungguhnya Engkau tidak mensia-siakan setiap doa hamba-Mu ini. Engkau tempatkanlah kedua-dua ibu dan ayahku di tempat yang mulia di sisi-Mu. Rahmatilah roh kedua-dua ibu dan ayahku serta roh semua umat Islam sama ada yang masih hidup mahupun yang sudah meninggal dunia. Berkatilah kehidupan aku dan keluargaku di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbalalamin.” Dalam hatinya, Haziq hanya mampu berharap agar kejayaannya diberkati Allah S.W.T. Dia sedar, kejayaannya sekarang hanyalah sementara. Kejayaan yang hakiki ialah di akhirat kelak. Dia juga sedar bahawa segala yang dikecapinya sekarang berpunca daripada ombak itu. Ya, ombak itulah titik permulaannya meniti kejayaan.